Wednesday, September 17, 2008

Kawasan Pentadbiran

Keluasan MPS - 546 KM persegi
Terbahagi kepada Tiga Mukim :

Mukim Rawang - Keluasan 263 KM²
Mukim Batu - Keluasan 155 KM²
Mukim Setapak - Keluasan 128 KM²

Sejarah

Majlis Perbandaran Selayang(MPS) telah ditubuhkan pada 1hb Januari 1997
Sebelum ini dikenali sebagai Majlis Daerah Gombak (MDG) yang telah ditubuhkan di bawah akta 171, akta kerajaan tempatan 1976
MDG lahir daripada beberapa rentetan pembangunan Majlis Kerajaan Tempatan sebelumnya seperti:

Lembaga Bandaran Gombak
Lembaga Bandaran Rawang
Lembaga Bandaran Kuala Ampang
Kawasan PKNS Taman Keramat
Kawasan Perindustrian Batu Caves

Saturday, September 6, 2008

Pembangunan perlu perancangan teliti

Pembangunan sesuatu kawasan yang teratur memerlukan perancangan yang rapi. Perancangan dilakukan melalui penyediaan perancangan jangka panjang atau dinamakan rancangan struktur.

Masalah seperti kesesakan lalu lintas, kekurangan perumahan, banjir kilat, pencemaran alam sekitar, kekurangan kemudahan sosial dan sebagainya timbul kesan daripada pembangunan yang tidak seimbang. Rancangan struktur adalah perancangan strategik jangka panjang peringkat tempatan yang disediakan dengan mengambil kira aspirasi dan citarasa orang awam dalam perancangan pembangunan tempatan.

Pembangunan fizikal pihak berkuasa perancang tempatan semakin rumit dan memerlukan kaedah pengawalan pembangunan yang lebih menyeluruh. Perancangan yang teliti perlu dibuat ke atas agihan penggunaan tanah untuk menjamin pembangunan pihak berkuasa perancang tempatan dapat diuruskan dengan baik dan berkesan.

Pada peringkat tempatan, rancangan struktur disediakan untuk memenuhi keperluan perancangan pembangunan dan memastikan dasar perancangan guna tanah diagihkan secara maksimum serta memastikan kegiatan perbandaran tidak mewujudkan masalah seperti kesesakan lalu-lintas, pencemaran udara, sungai, banjir kilat, ketidakcukupan kemudahan utiliti, bencana alam seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Rancangan struktur membantu pihak berkuasa perancang tempatan menentukan arah tuju pembangunan sesuatu kawasan bersesuaian dengan dasar negara dan negeri. Ia juga memudahkan pihak berkuasa perancang tempatan memproses cadangan pembangunan tanah secara ‘in-situ’ dan merancang keperluan kemudahan awam dan utiliti selaras dengan perkembangan penduduk dan fungsinya sebagai pusat pentadbiran atau pusat perniagaan dan sebagainya. Pihak berkuasa perancang tempatan yang ingin berdaya saing perlu merancang arah tuju pembangunannya agar dapat menggunakan kekuatan dan potensi yang ada di kawasannya dengan berkesan.

Pihak Berkuasa Tempatan adalah pihak berkuasa perancang tempatan bagi kawasan pentadbirannya. Berdasarkan kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), pihak berkuasa perancang tempatan dikehendaki menyediakan rancangan kemajuan bagi kawasannya. Sistem rancangan pemajuan mengandungi dua rancangan-rancangan struktur dan rancangan tempatan. Rancangan struktur disediakan sebelum sesuatu rancangan tempatan di sediakan.

Rancangan struktur biasanya mempunyai jangka masa perancangan antara 15 – 20 tahun ke hadapan. Dasar dan cadangan yang dijelaskan dalam penyataan bertulis perlu mengambil kira dasar negara, dasar negeri dan kekuatan serta potensi yang ada di kawasan berkenaan.

Dasar rancangan struktur akan dikemukakan mengikut sektor seperti penduduk, ekonomi, perdagangan, perindustrian, pelancongan, alam sekitar, pertanian, kemudahan awam, infrastruktur utiliti, pengangkutan, lalu-lintas dan lain-lain yang berkenaan bagi sesuatu kawasan. Dasar sektoral ini saling berkait antara satu dengan yang lain dan pada lazimnya akan mempunyai implikasi fizikal (spatial).

Dasar dan cadangan rancangan struktur disertai dengan gambar rajah utama iaitu pelan yang menunjukkan cadangan am penggunaan tanah, jaringan perhubungan utama, hierarki pusat pertumbuhan dan pola pembangunan di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa perancang tempatan dikehendaki merujuk kepada rancangan struktur ketika merancang dan membangunkan kawasannya. Dasar yang digubal dalam rancangan struktur perlu dilaksanakan supaya perkembangan dan pembangunan pihak berkuasa perancang tempatan selaras dengan dasar peringkat negara dan negeri serta menjamin pembangunan yang seimbang bagi menjaga kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, pegawai perancangan Bandar dan Desa di peringkat pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting dalam mentafsir dasar rancangan struktur di kawasannya.