Sunday, October 19, 2008



Responden di Selayang Mall


Stadium MPS di Selayang

Kajian Lapangan

Pada 11 dan 12 Oktober 2008, kumpulan kami yang terdiri daripada 3 org telah pun menjalani kajian lapangan di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Kawasan kajian kami meliputi Selayang, Rawang, Gombak dan Batu Caves. Kajian selama 2 hari itu amat memenatkan kami semua kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun kami berjaya juga menghabiskan kajian kami itu dengan jayanya.

Selama 2 hari kami menjalan kajian disana, kami telah mengetahui sedikit sebanyak dengan keadaan pembandaran di MPS. Walaupun kawasan ini luas namun kami telah memilih kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk menjalankan kajian kami di sana. Ini adalah antara bahan-bahan yang kami sempat kumpulkan mengenai keadaan pembandaran di MPS.

Wednesday, October 8, 2008

kemusnahan hutan di selayang

Setelah dikejutkan dengan ancaman kepada sistem ekologi di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, kini timbul persoaIan mengenai kegiatan pembangunan yang agresif dan keterlaluan berhampiran kawasan berbukit dan hutan di Selayang, Selangor. Ia meliputi kawasan berhampiran Bandar BaruSelayang melunjur sehingga ke Taman Rimba Templer.Ironisnya, kemusnahan bagi tujuan pembangunan itu hanya terletak beberapa ratus meter dari pejabat tanah Gombak dan pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Taman Rimba Templer merupakan satu lagi 'tangki oksigen' bagi penduduk Lembah Klang yang perlu dipelihara. Penebangan kawasan hutan dan bukit yang seolah-olah berjalan tanpa kawalan itu turut mencetuskan perasaan gelisah dan tidak puas hati penduduk di kawasan itu. Hasil tinjauan udara itu menunjukkan gambaran yang sungguh mengejutkan kerana sebahagian kawasan tersebut hampir gondol bagi tujuan pembinaan ribuan unit rumah dan kompleks perniagaan komersial. Pokok-pokok ditebang dan bukit-bukit telah diratakan bagi memberi laluan kepada pembangunan hartanah yang mampu membawa pulangan berjuta-juta ringgit. Apa yang lebih membimbangkan ialah pembangunan yang bermula dari kawasan di belakang pejabat tanah Gombak itu kini semakin menghampiri kawasan tadahan air Empangan Batu.Malah salah satu kawasan berbukit yang kini sedang rancak 'digondolkan' itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari tebing empangan tersebut. Berdasarkan pemerhatian mata kasar, tidak mustahil satu hari nanti empangan yang dibina pada tahun 1987 dengan kos RM27 juta, bagi menyalurkan air minuman, pertanian dan industri itu akan menerima kesan kerakusan manusia yang terlalu mementingkan keuntungan. Mengikut jangkaan menjelang 2010 Selangor akan mengalami krisis air yang meruncing. Mungkin dengan fenomena ini jangkaan tersebut dijangka lebih pendek. Utusan Malaysia dalam laporan siasatannya Khamis lalu mendedahkan mengenai kegiatan pembangunan tidak terancang di sekeliling sempadan Taman Pertanian di Shah Alam sehingga mengancam sistem ekologi dan biodiversiti di dalamnya. Taman seluas 800 hektar (2,000 ekar) kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata garis sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia.

Wednesday, September 17, 2008

Kawasan Pentadbiran

Keluasan MPS - 546 KM persegi
Terbahagi kepada Tiga Mukim :

Mukim Rawang - Keluasan 263 KM²
Mukim Batu - Keluasan 155 KM²
Mukim Setapak - Keluasan 128 KM²

Sejarah

Majlis Perbandaran Selayang(MPS) telah ditubuhkan pada 1hb Januari 1997
Sebelum ini dikenali sebagai Majlis Daerah Gombak (MDG) yang telah ditubuhkan di bawah akta 171, akta kerajaan tempatan 1976
MDG lahir daripada beberapa rentetan pembangunan Majlis Kerajaan Tempatan sebelumnya seperti:

Lembaga Bandaran Gombak
Lembaga Bandaran Rawang
Lembaga Bandaran Kuala Ampang
Kawasan PKNS Taman Keramat
Kawasan Perindustrian Batu Caves

Saturday, September 6, 2008

Pembangunan perlu perancangan teliti

Pembangunan sesuatu kawasan yang teratur memerlukan perancangan yang rapi. Perancangan dilakukan melalui penyediaan perancangan jangka panjang atau dinamakan rancangan struktur.

Masalah seperti kesesakan lalu lintas, kekurangan perumahan, banjir kilat, pencemaran alam sekitar, kekurangan kemudahan sosial dan sebagainya timbul kesan daripada pembangunan yang tidak seimbang. Rancangan struktur adalah perancangan strategik jangka panjang peringkat tempatan yang disediakan dengan mengambil kira aspirasi dan citarasa orang awam dalam perancangan pembangunan tempatan.

Pembangunan fizikal pihak berkuasa perancang tempatan semakin rumit dan memerlukan kaedah pengawalan pembangunan yang lebih menyeluruh. Perancangan yang teliti perlu dibuat ke atas agihan penggunaan tanah untuk menjamin pembangunan pihak berkuasa perancang tempatan dapat diuruskan dengan baik dan berkesan.

Pada peringkat tempatan, rancangan struktur disediakan untuk memenuhi keperluan perancangan pembangunan dan memastikan dasar perancangan guna tanah diagihkan secara maksimum serta memastikan kegiatan perbandaran tidak mewujudkan masalah seperti kesesakan lalu-lintas, pencemaran udara, sungai, banjir kilat, ketidakcukupan kemudahan utiliti, bencana alam seperti tanah runtuh dan sebagainya.

Rancangan struktur membantu pihak berkuasa perancang tempatan menentukan arah tuju pembangunan sesuatu kawasan bersesuaian dengan dasar negara dan negeri. Ia juga memudahkan pihak berkuasa perancang tempatan memproses cadangan pembangunan tanah secara ‘in-situ’ dan merancang keperluan kemudahan awam dan utiliti selaras dengan perkembangan penduduk dan fungsinya sebagai pusat pentadbiran atau pusat perniagaan dan sebagainya. Pihak berkuasa perancang tempatan yang ingin berdaya saing perlu merancang arah tuju pembangunannya agar dapat menggunakan kekuatan dan potensi yang ada di kawasannya dengan berkesan.

Pihak Berkuasa Tempatan adalah pihak berkuasa perancang tempatan bagi kawasan pentadbirannya. Berdasarkan kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), pihak berkuasa perancang tempatan dikehendaki menyediakan rancangan kemajuan bagi kawasannya. Sistem rancangan pemajuan mengandungi dua rancangan-rancangan struktur dan rancangan tempatan. Rancangan struktur disediakan sebelum sesuatu rancangan tempatan di sediakan.

Rancangan struktur biasanya mempunyai jangka masa perancangan antara 15 – 20 tahun ke hadapan. Dasar dan cadangan yang dijelaskan dalam penyataan bertulis perlu mengambil kira dasar negara, dasar negeri dan kekuatan serta potensi yang ada di kawasan berkenaan.

Dasar rancangan struktur akan dikemukakan mengikut sektor seperti penduduk, ekonomi, perdagangan, perindustrian, pelancongan, alam sekitar, pertanian, kemudahan awam, infrastruktur utiliti, pengangkutan, lalu-lintas dan lain-lain yang berkenaan bagi sesuatu kawasan. Dasar sektoral ini saling berkait antara satu dengan yang lain dan pada lazimnya akan mempunyai implikasi fizikal (spatial).

Dasar dan cadangan rancangan struktur disertai dengan gambar rajah utama iaitu pelan yang menunjukkan cadangan am penggunaan tanah, jaringan perhubungan utama, hierarki pusat pertumbuhan dan pola pembangunan di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa perancang tempatan dikehendaki merujuk kepada rancangan struktur ketika merancang dan membangunkan kawasannya. Dasar yang digubal dalam rancangan struktur perlu dilaksanakan supaya perkembangan dan pembangunan pihak berkuasa perancang tempatan selaras dengan dasar peringkat negara dan negeri serta menjamin pembangunan yang seimbang bagi menjaga kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, pegawai perancangan Bandar dan Desa di peringkat pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting dalam mentafsir dasar rancangan struktur di kawasannya.